Disebutkan mukjizat Nabi Musa, kemampuan ilmu 'magis'nya mampu mengalahkan ahli-ahli sihir terulung pada zaman tersebut.
Disebutkan mukjizat Al-Quran, sungguh hebat gaya bahasanya, mampu mengalahkan Mu'allaqat, tujuh karya terunggul para penyair sebelum era Islam.
Maka saya terfikir, elok juga kalau kita lebih menyelami konsep mukjizat.
Nabi sebagai pendakwah terhebat yang mampu membuatkan orang jatuh hati kepada Islam hanya dengan segala kemurnian perilaku dan ketinggian tingkahnya, tetap dikurniakan mukjizat yang pelbagai sebagai pelengkap dakwah baginda. Dan antara mukjizatnya yang pelbagai itu, Al-Quran adalah mukjizatnya yang terulung. Al-Quran pula kekal terpelihara hingga ke akhir zaman bersama kita. Persoalannya, apa tujuan Al-Quran kekal dengan kita?
Kita percaya, Al-Quran adalah mukjizat yang kekal hebat, ia hebat ketika baginda masih hidup, dan kekal hebat walaupun baginda sudah wafat. Adapun debat tentang Quran ini makhluk atau tidak, tidaklah relevan dalam tulisan ini. =)
Kita percaya, Al-Quran, pada zaman Nabi, hebat kerana lenggok bahasanya. Lalu dalil-dalil dari Quran dibawa, pelbagai cerita tentang kelemahan orang-orang kafir yang tidak mampu mengarang syair seindah gaya bahasa Al-Quran hatta satu surah sekalipun. Antaranya, dari Surah Al-Baqarah, ayat 23-24.
وَإِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.
فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا وَلَن تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ ۖ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ
Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.
Namun, di samping kehebatan Quran dari segi bahasanya, Al-Quran masih mempunyai banyak unsur i'jaznya yang lain.
Kita percaya, atau sekurangnya, saya percaya, mukjizat yang kekal hingga ke akhir zaman ini, disebut juga sebagai sebuah kitab atau sebuah buku, yang menunjukkan bahawa pertembungan antara kebenaran yang kita percaya sebagai Islam, dan kebatilan yang kita percaya sebagai selain Islam pada akhir zaman adalah berdasarkan pertembungan ilmu dan ideologi.
Jadi, apa bezanya konsep mukjizat di zaman dahulu dan zaman sekarang?
Akhir-akhir ini, pelbagai isu semasa berjaya meraih perhatian kita. Isu ini pula pelbagai, isu ekonomi, isu hak asasi, isu sistem kewangan dan lain-lain lagi. Kita juga lihat, kerana isu semasa ini, ramai agamawan Islam sama ada yang tradisional mahupun progresif datang mempertahankan panji Islam bersama hujah-hujah mereka. Berpandukan fahaman bahawa Al-Quran sumber rujukan utama kita dan perlembagaan umat Islam, para agamawan Islam datang membawa hujah-hujah berpandukan Al-Quran, Hadis, dan juga pandangan-pandangan agamawan Islam yang lampau.
Tambahan pula, Islam adalah agama terbaik, Islam adalah ideologi terbaik, Islam adalah sistem hidup terbaik, takkanlah perkara yang terbaik, mampu dikalahkan oleh perkara yang lebih rendah tarafnya?
Tambahan pula, Al-Quran adalah mukjizat terunggul yang masih kekal, takkanlah mukjizat mampu dikalahkan oleh perkara biasa?
Namun, benarkah konsep Islam sebagai ideologi atau agama atau sistem hidup terbaik perlu difahami dengan sebegitu?
Namun, benarkah konsep hebatnya Al-Quran sebagai mukjizat perlu difahami sebegitu?
Tindakan para agamawan Islam membentangkan hujah-hujah dari Al-Quran adalah tindakan yang benar. Ideologi Islam tentang isu semasa perlu disalurkan dan dihebahkan supaya masyarakat tahu dan arif tentang pandangan Islam, dan supaya masyarakat tidak tersalah tanggap tentang ideologi Islam.
Bagi saya, yang tersalah tanggapnya dalam hal ini bukanlah masyarakat, bahkan sebenaranya adalah rata-rata dari kita, dan juga sebahagian besar agamawan Islam.
Kita dan agamawan Islam tidak boleh mengharapkan mereka yang tidak selari dengan Islam akan menerima hujah-hujah yang dibawa berdasarkan Al-Quran secara serta-merta.
Maksud serta-merta di sini adalah, dengan tempoh yang amat cepat relatif dengan keadaannya sebagai isu semasa.
Atas dasar apakah para agamawan Islam berpendapat pihak yang berlawan hujah dengan mereka akan tunduk kepada hujah berpandukan Al-Quran secara serta-merta?
Adakah atas dasar Malaysia sebuah negara Islam, maka mereka perlu tunduk secara serta-merta terhadap hujah berpandukan Al-Quran, walaupun sebenanrnya masih banyak hal lain di Malaysia yang tidak berpandukan Al-Quran? Bagaimana kalau di negara tidak berideologi Islam dari segi tuhannya, Australia contohnya? Apakah dasar yang sama masih boleh digunapakai?
Inikah konsep mukjizat Al-Quran yang kita faham? Konsep betapa hebatnya mukjizat yang mampu menundukkan pihak lawan secara serta-merta? Adakah ini pengajaran yang kita ambil dari kisah Nabi Musa (salam kepadanya) dan para ahli sihir terulung Fir'aun? Surah Al-A'raaf Ayat 118-122 ada menceritakan kisah tersebut.
فَوَقَعَ الْحَقُّ وَبَطَلَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batallah (sihir) yang mereka telah lakukan.
فَغُلِبُوا هُنَالِكَ وَانقَلَبُوا صَاغِرِينَ
Oleh itu, kalahlah Firaun dan Ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina.
وَأُلْقِيَ السَّحَرَةُ سَاجِدِينَ
Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud,
قَالُوا آمَنَّا بِرَبِّ الْعَالَمِينَ
sambil berkata, "Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam,
رَبِّ مُوسَىٰ وَهَارُونَ
Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun."Seusai Nabi Musa menggunakan mukjizatnya, para lawannya kalah dan terus tunduk akur dan beriman dengan Allah secara serta-merta. Lalu, kita kononnya dengan menggunakan logik, kita katakan, kita menggunakan mukjizat Nabi Muhammad, maka para lawan kita akan kalah dan tunduk akur dan beriman dengan Allah, secara serta-merta.Begitukah?
Para pihak lawan agamawan Islam yang tidak tunduk serta-merta kepada hujah-hujah berpandukan Al-Quran ini terus digelar sesat, dengan selayaknya? Mereka terus kita cerca dengan cercaan mereka ini lebih teruk dari ahli-ahli sihir Fir'aun. Mungkin taraf kesesatannya sama dengan kesesatan Fir'aun kerana Fir'aun juga tidak tunduk serta merta setelah melihat mukjizat Nabi Musa.
Jika mereka ini tunduk kepada hujah yang dibawa berpandukan Al-Quran secara serta-merta, sudah tentu ramai orang di dunia ini termasuk mereka yang sudah lama memeluk Islam. Kalau begitu senang mereka tunduk kepada ayat-ayat ini, sudah tentu mereka tidak akan mempersoalkan tentang perkara ini dari awalnya. Sudah tentu, bila ada isu yang ditimbulkan, ini menunjukkan mereka punya fahaman, alasan dan kajian yang mendalam terhadap isu tersebut. Adakah logik untuk para agamawan Islam beranggapan, mereka ini perlu tunduk kepada hujah-hujah yang berpandukan Al-Quran, sedangkan mereka ini dengan tuan Al-Quran itu sendiripun mereka tidak percaya?
Contoh mudah, Islam tidak menghalalkan riba, lalu kita baca ayat Al-Quran berkenaan Allah mengharamkan riba, adakah kita menyangka mereka akan percaya serta-merta dengan ayat tersebut? Sedangkan mereka sudah lama hidup dengan riba, mempunyai kajian yang mendalam tentang riba, dan memegang teguh prinsip-prinsip berkaitan dengan riba.
Oleh sebab itu, kita perlu lebih memahami konsep mukjizat yang sebenarnya, lebih-lebih lagi di zaman moden ini, di zaman tiada lagi nabi dan tiada lagi mukjizat baru. Mukjizat itu perkara yang melemahkan mereka dan menguatkan dakwah kita. Sekarang ini mereka kuat dengan ideologi mereka. Maka Islam perlu tampil membawa ideologi baru yang lebih kuat.
Dalam hal ini, mungkin kita dan para agamawan Islam perlu menyadur aforisme dalam bidang perundangan.
'Not only must Justice be done; it must also be seen to be done.'
Bukan sahaja keadilan itu perlu ditegakkan, ia perlu juga tampak ditegakkan.
Islam tidak cukup dengan kita percaya bahawa ia benar, tidak cukup dengan kita percaya ia adalah satu sistem yang terunggul, tidak cukup dengan kita percaya ia adalah satu ideologi yang diredhai Allah, tapi ia perlu tampak seperti apa yang kita percaya.
Islam perlu diperlihatkan sebagai satu sistem yang terunggul, perlu diperlihatkan sebagai ideologi teragung melalui kajian yang mendalam dan melalui praktis yang mantap, bukan hanya unggul dan agung dalam kepercayaan kita semata-mata.
Sistem kewangan Islam tidak akan digilai manusia zaman moden dengan hanya membaca ayat riba Al-Baqarah Ayat 275 tetapi akan digilai ramai bila sistem ini ternyata lebih unggul dan memanfaatkan mereka dari sistem kewangan kapitalis.
Sistem sosial Islam, sistem kesihatan Islam, sistem perundangan Islam, dan pelbagai sistem kehidupan yang lain, tidak akan tertegak dengan hanya membaca beberapa ayat Al-Quran, bahkan sebenarnya ia perlu diperjuangkan, perlu diperlihatkan unggul dari segi kebersanannya .
Adakah saya menafikan fahaman bahawa Al-Quran mukjizat terulung? Tidak, saya tidak menafikan fahaman itu malah sebenarnya, saya menguatkan lagi fahaman tersebut.
Kita bukan nabi dan kita tidak akan dikurniakan mukjizat, namun antara tanggungjawab kita sebagai umatnya adalah percaya kepada baginda, percaya dengan kitab Al-Quran yang ditinggalkannya, percaya dengan keagungan Al-Quran, dan juga sebenarnya kita perlu berusaha untuk membuktikan keagungan Al-Quran. Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memperlihatkan bahawa ideologi yang datang dari Al-Quran adalah ideologi terunggul.
Mungkin ramai di antara kita berfahaman, Al-Quran perlu diagungkan dengan mematuhi adab-adab bersama Al-Quran yang digariskan agamawan Islam zaman lampau, Al-Quran perlu diagungkan dengan menganjurkan pertandingan besar-besaran untuk mendengar bacaan yang dengan lunak dan bagus, Al-Quran perlu diagungkan dengan diadakan pertandingan hafalan dan sebagainya, tanpa menyentuh perkara itu, saya menyeru supaya kita menanam fahaman baru, bahawa Al-Quran perlu diagungkan dengan membuktikan Al-Quran adalah mukjizat teragung.
Hanya dengan itulah, kita boleh katakan, ya benar, Al-Quran, adalah mukjizat terulung. Ideologi terkandung di dalamnya adalah ideologi terulung. Kerana itulah ia mukjizat terulung. Hanya pada masa itu, kita boleh berkata dengan penuh bangga, lihatlah, kami mempunyai Al-Quran, ideologi terulung untuk kita semua ini datang dari mukjizat terulung nabi kami.
Jika perjuangan mengagungkan mukjizat Al-Quran ini memerlukan kita memahami ideologi lain dan perlu menguasai bahasa lain, maka itu sudah menjadi kewajipan kita untuk mempelajari ideologi dan bahasa tersebut. Adalah mustahil untuk kita melemahkan sesuatu benda yang kita tidak tahu kekuatan dan kelemahannya. Adalah mustahil untuk kita perlihatkan ideologi Islam sebagai sesuatu yang lebih kuat dan lebih bagus, jika kita tidak tahu tentang kelemahan sistem selain Islam. Maka, makin bertambah relevanlah untuk kita belajar ideologi selain Islam dengan niat mencari kelemahannya. Selepas ideologi selain Islam terbukti lemah dan salah, kita gantikannya dengan ideologi Islam, yang akhirnya akan tampak gah dan benar. Barulah konsep mukjizat, benda yang melemahkan musuh, dan menguatkan Islam, benar-benar hadir secara praktikalnya, bukan hanya di mulut semata-mata.
Itualh konsep mukjizat di zaman moden yang perlu kita sama-sama fahami.
Moga bermanfaat. =)